Thursday, 20 August 2015

Apakah kesan daripada rezeki yang tidak berkat?

Soalan: Apakah kesan daripada rezeki yang tidak berkat?

Jawapan: Sebenarnya bila kita buat benda haram, mesti ada kesan. Kesannya akan dapat dilihat secara terus. Antara kesan makan duit yang haram, antara kesan daripada rezeki yang haram:

1. Pertama, dia akan jadi seorang yang penipu. Dia akan ada tabiat suka menipu. Contohnya, dia ada saham di dalam ASB, katakan RM200,000. Dia letak duit RM200,000 tersebut dan ditinggalkannya. Selepas tu, lama-kelamaan, bila diperiksa, nilai duit tersebut telah bertambah menjadi RM270,000, sudah bertambah sebanyak RM70,000 dari nilainya yang asal. "RM70 ribu, banyaknya!" katanya. Isterinya melihat lalu berkata, "amboi abang, banyaknya!". Lalu dia berkata, "eh, tak adalah. Ini duit orang lain". Dia sudah mula menipu kerana takut isterinya akan meminta gelang, anting-anting, tudung baru dan macam-macam lagi. "Abang tiada duit sebenarnya, ini duit orang lain, hutang", macam-macam helahnya. Orang kata, bila sudah dikeluarkan duit sahamnya, sudah ada dividen, sudah ada untungnya, maka wajib dikeluarkan zakat darinya. Berapa kadar zakatnya yang kena dikeluarkan? Dua perpuluhan lima peratus (2.5%). Maka disambut dengan, "belum cukup haul, tak sampai haul lagi". Ada sahaja alasannya untuk tidak membayar zakat. Ini tanda-tanda rezekinya tak berkat. Dia suka tengok angka yang semakin menaik, tetapi bila sampai masa untuk membayar zakat, dia tak mahu. Walaupun duit itu banyak. Ini tanda-tanda orang yang makan duit yang haram, makan duit yang tidak halal, makan duit daripada rezeki yang tidak jelas. Maknanya mereka ini buat benda-benda yang tidak betul, contohnya riba, menipu duit orang lain dan seumpamanya. Jadi di dalam hal ini, pastikan kita dapatkan harta yang berkah. Jadi semua duit-duit yang kita buat, duit-duit yang kita dapat, pastikan kita berzakat. Maka, kita akan dapat keberkatan di situ.

2. Kedua, kesannya akan menjadikan dia sentiasa rasa tidak cukup. Perasaannya selalu rasa tidak cukup. Duitnya banyak, pangkat makin naik, daripada gred 41 sehingga ke JUSA C sekarang, maknanya gaji dicampur dengan elaun dan sebagainya sudah menjangkau hampir 15-16 ribu ringgit. Kita mungkin rasa, “Ya Allah, banyaknya! Nanti boleh lah belanja makan”. Tetapi pada hakikatnya, tak boleh, duit selalu tidak cukup. Setiap kali akhir bulan duit tidak cukup. Ke mana hilangnya duit tersebut wallahua’lam. Dia sendiri pun tiada jawapan. Adakah anaknya makan sehari sekampit beras? Tidak juga. Anaknya bukan buaya, sekali makan sebegitu banyak. Jadi sepatutnya duit tersebut mencukupi, tetapi tidak. Ini tanda-tanda rezeki yang tidak barakah. Padahal cukup, dia rasa tidak cukup. Ataupun dia gunakan duit tersebut kepada benda-benda yang haram. Sebagai contoh, duit ada, dia beli arak, dia pergi melabur pada saham-saham yang tidak halal, contohnya melabur di dalam saham cepat kaya, apabila duit diberikan untuk dilaburkan, duit itu lesap begitu sahaja.

3. Ketiga, kata para ulama, dia akan menjadi manusia yang sangat sangat kedekut (syahih) dan bakhil. Syahih adalah bakhil + bakhil, iaitu terlajak kedekut. Contohnya, kalau nak belanja isteri makan, katanya “tak bolehlah, tak cukup duit. Kalau anak hendak baju sekolah, katanya “tak apalah, pakailah baju sekolah dua tahun lepas”. Sehingga boleh menimbulkan persoalan, “apa sudah jadi ni? Duit ada, gaji ada, tetapi tidak cukup”. Dia akan sentiasa rasa kedekut, duit ada, tetapi tak mahu guna duit tersebut. Oleh kerana itu, cuba muhasabah, adakah kita termasuk di kalangan orang yang kedekut atau tidak.

4. Keempat, dia makin jauh dengan Allah taala. Duit banyak, tetapi makin jauh. Sebagai contoh, dulu masa tiada duit, masa itu seluar dalam dan baju dalam berlobang; stokin berlubang sehingga ibu jari terkeluar, tetapi sembahyang di masjid, sampaikan tok bilal tengok berkata, “Amboi, berlubang besar betul dia punya stokin”, malu kepada tok bilal. Tetapi sekarang, baju dalam dan seluar dalam berjenama dan berkilat; stokin tak berlubang lagi; sudah kaya, duit banyak masuk, saham meningkat-ningkat naik; mulalah tidak sembahyang, mula tidak berzakat, mula tidak bersedekah, mula jadi sombong, mula jadi takabur dan sebagainya; maka ini tanda-tanda, orang itu, rezekinya tidak barakah. Itu sebabnya nabi Muhammad SAW bersabda “sesungguhnya, seorang hamba itu akan terlarang daripada rezeki akibat daripada dosa yang dia lakukan apabila mereka jauh dengan Allah SWT”.

Dari: Ustaz Dr Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim (Ustaz MIA)
Di dalam "Hal Ehwal Islam - Rezeki Secupak Menjadi Segantang" yang dibawakan dari Sibu, Sarawak oleh TV1 pada 30 Julai 2015

Sedutan MP3 ini boleh didengar di bawah:
 


Anda mungkin juga berminat:
Doa dan Zikir Murah Rezeki dari Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood
Ihsan di Tempat Kerja/a>
Baca Surah Al Ikhlas 10 kali Allah Beri Istana di Syurga


No comments:

Post a Comment