Sunday, 18 November 2018

Adakah saya perlu hadkan pemberian sedekah atau beri sahaja dan yakin pulangan Allah?


Soalan: Saya terlalu mudah bersedekah sehingga adakalanya saya kekurangan duit. Adakah saya perlu hadkan pemberian sodaqah atau beri saja dan yakin pulangan Allah?



Jawapan: Dalam kes sedekah terlalu banyak ni ada cerita. Lepas turunnya ayat Al-Quran:

(Maksud ringkasnya: kamu tidak akan mencapai kebajikan sehingga kamu menafkahkan apa yang kamu sayang). Seorang sahabat nabi, namanya Abu Talhah, dia ni ada sebuah kebun yang sangat istimewa di sisi masjid nabi di Madinah. Jadi, nabi pun suka masuk dalam kebun tamar dia, minum air daripada air yang mengalir dalam kebunnya. Bila turun ayat itu, sahabat ini, dia bercakap dengan Rasulullah, "aku nak dermakan, aku nak infakkan kebun ni, ya Rasulullah". Nabi tak izinkan. Nabi kata, "kamu ada waris yang masih perlu kamu santuni". Rasulullah tak bagi. Nabi tak benarkan. Maknanya dalam kita nak menginfakkan harta ni jangan sampai menzalimi diri dan tanggungan. Tidak boleh.  Itu sebab hadith soheh (hadis sahih) tadi, Asma' binti Abu Bakar, nabi kata, "memberilah ikut kadar kemampuanmu tapi dengan syarat jangan kamu berkira-kira". Walaupun niatnya baik. Sebab apa, ada hadith  yang lain nabi kata, "kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya, itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta". Ayah kaya, tapi semua sudah diwakafkan, anak dapat apa? Itu masalah. Anak pergi pejabat zakat pun tak dapat zakat. Adakah rupa itu? Islam tak ajar rupa itu. Jadi hendaklah kita memberi itu memang dianjur sangat dalam Islam, tetapi jangan sampai mendzolimi anak isteri dan orang-orang yang wajib ditanggung oleh kita. Itu tak boleh. Maksudnya ada had-had dia jugalah, bukan semua diberikan, habis duit dalam bank. Balik rumah tanya isteri, "Yang, geran kereta mana, Yang?". "Kenapa bang?". "Abang nak infak". Lepas tu pergi kerja naik bas. Lain jadinya.


(51:28 - 54:36)
Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Pendakwah
Tanyalah Ustaz TV9
10/11/2018

**Hadith riwayat Anas r.a, dari Kitab Riyadhus Solihin, buku 1, hadith no. 298 dari bab "Memberikan Nafkah Dari Sesuatu Yang Disukai Dan Dari Sesuatu Yang Baik":



Thursday, 20 August 2015

Apakah kesan daripada rezeki yang tidak berkat?

Soalan: Apakah kesan daripada rezeki yang tidak berkat?

Jawapan: Sebenarnya bila kita buat benda haram, mesti ada kesan. Kesannya akan dapat dilihat secara terus. Antara kesan makan duit yang haram, antara kesan daripada rezeki yang haram:

1. Pertama, dia akan jadi seorang yang penipu. Dia akan ada tabiat suka menipu. Contohnya, dia ada saham di dalam ASB, katakan RM200,000. Dia letak duit RM200,000 tersebut dan ditinggalkannya. Selepas tu, lama-kelamaan, bila diperiksa, nilai duit tersebut telah bertambah menjadi RM270,000, sudah bertambah sebanyak RM70,000 dari nilainya yang asal. "RM70 ribu, banyaknya!" katanya. Isterinya melihat lalu berkata, "amboi abang, banyaknya!". Lalu dia berkata, "eh, tak adalah. Ini duit orang lain". Dia sudah mula menipu kerana takut isterinya akan meminta gelang, anting-anting, tudung baru dan macam-macam lagi. "Abang tiada duit sebenarnya, ini duit orang lain, hutang", macam-macam helahnya. Orang kata, bila sudah dikeluarkan duit sahamnya, sudah ada dividen, sudah ada untungnya, maka wajib dikeluarkan zakat darinya. Berapa kadar zakatnya yang kena dikeluarkan? Dua perpuluhan lima peratus (2.5%). Maka disambut dengan, "belum cukup haul, tak sampai haul lagi". Ada sahaja alasannya untuk tidak membayar zakat. Ini tanda-tanda rezekinya tak berkat. Dia suka tengok angka yang semakin menaik, tetapi bila sampai masa untuk membayar zakat, dia tak mahu. Walaupun duit itu banyak. Ini tanda-tanda orang yang makan duit yang haram, makan duit yang tidak halal, makan duit daripada rezeki yang tidak jelas. Maknanya mereka ini buat benda-benda yang tidak betul, contohnya riba, menipu duit orang lain dan seumpamanya. Jadi di dalam hal ini, pastikan kita dapatkan harta yang berkah. Jadi semua duit-duit yang kita buat, duit-duit yang kita dapat, pastikan kita berzakat. Maka, kita akan dapat keberkatan di situ.

2. Kedua, kesannya akan menjadikan dia sentiasa rasa tidak cukup. Perasaannya selalu rasa tidak cukup. Duitnya banyak, pangkat makin naik, daripada gred 41 sehingga ke JUSA C sekarang, maknanya gaji dicampur dengan elaun dan sebagainya sudah menjangkau hampir 15-16 ribu ringgit. Kita mungkin rasa, “Ya Allah, banyaknya! Nanti boleh lah belanja makan”. Tetapi pada hakikatnya, tak boleh, duit selalu tidak cukup. Setiap kali akhir bulan duit tidak cukup. Ke mana hilangnya duit tersebut wallahua’lam. Dia sendiri pun tiada jawapan. Adakah anaknya makan sehari sekampit beras? Tidak juga. Anaknya bukan buaya, sekali makan sebegitu banyak. Jadi sepatutnya duit tersebut mencukupi, tetapi tidak. Ini tanda-tanda rezeki yang tidak barakah. Padahal cukup, dia rasa tidak cukup. Ataupun dia gunakan duit tersebut kepada benda-benda yang haram. Sebagai contoh, duit ada, dia beli arak, dia pergi melabur pada saham-saham yang tidak halal, contohnya melabur di dalam saham cepat kaya, apabila duit diberikan untuk dilaburkan, duit itu lesap begitu sahaja.

3. Ketiga, kata para ulama, dia akan menjadi manusia yang sangat sangat kedekut (syahih) dan bakhil. Syahih adalah bakhil + bakhil, iaitu terlajak kedekut. Contohnya, kalau nak belanja isteri makan, katanya “tak bolehlah, tak cukup duit. Kalau anak hendak baju sekolah, katanya “tak apalah, pakailah baju sekolah dua tahun lepas”. Sehingga boleh menimbulkan persoalan, “apa sudah jadi ni? Duit ada, gaji ada, tetapi tidak cukup”. Dia akan sentiasa rasa kedekut, duit ada, tetapi tak mahu guna duit tersebut. Oleh kerana itu, cuba muhasabah, adakah kita termasuk di kalangan orang yang kedekut atau tidak.

4. Keempat, dia makin jauh dengan Allah taala. Duit banyak, tetapi makin jauh. Sebagai contoh, dulu masa tiada duit, masa itu seluar dalam dan baju dalam berlobang; stokin berlubang sehingga ibu jari terkeluar, tetapi sembahyang di masjid, sampaikan tok bilal tengok berkata, “Amboi, berlubang besar betul dia punya stokin”, malu kepada tok bilal. Tetapi sekarang, baju dalam dan seluar dalam berjenama dan berkilat; stokin tak berlubang lagi; sudah kaya, duit banyak masuk, saham meningkat-ningkat naik; mulalah tidak sembahyang, mula tidak berzakat, mula tidak bersedekah, mula jadi sombong, mula jadi takabur dan sebagainya; maka ini tanda-tanda, orang itu, rezekinya tidak barakah. Itu sebabnya nabi Muhammad SAW bersabda “sesungguhnya, seorang hamba itu akan terlarang daripada rezeki akibat daripada dosa yang dia lakukan apabila mereka jauh dengan Allah SWT”.

Dari: Ustaz Dr Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim (Ustaz MIA)
Di dalam "Hal Ehwal Islam - Rezeki Secupak Menjadi Segantang" yang dibawakan dari Sibu, Sarawak oleh TV1 pada 30 Julai 2015

Sedutan MP3 ini boleh didengar di bawah:
 


Anda mungkin juga berminat:
Doa dan Zikir Murah Rezeki dari Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood
Ihsan di Tempat Kerja/a>
Baca Surah Al Ikhlas 10 kali Allah Beri Istana di Syurga


Thursday, 6 November 2014

Adakah puasa saya masih sah sekiranya saya berdating, menonton wayang dan melakukan perkara-perkara mengkhayalkan untuk membuang masa supaya cepat berbuka puasa?

Soalan:
Adakah puasa saya masih sah sekiranya saya berdating, menonton wayang dan melakukan perkara-perkara mengkhayalkan untuk membuang masa supaya cepat berbuka puasa?


Jawapan:
Selagimana kita tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, puasa itu masih sah.

Adakah berdating itu perkara yang membatalkan puasa? Tidak.
Cuma, berdating itu bagaimana? Kalau dia berpuasa, adakah dia keluar dengan lelaki atau perempuan? Kalau sama-sama lelaki, tiada masalah (bukan merujuk kepada lelaki yang berdating dengan lelaki, tetapi kawan sahaja). Yang menjadi masalah ialah jika dia seorang lelaki keluar berdating dengan perempuan. Apa yang dia buat semasa dating itu? Adakah berpegangan tangan, berpeluk, walaupun dalam keadaan berpuasa? Memanglah tidak batal puasa, tetapi habislah pahala puasa. Puasanya tidak mendapat apa-apa melainkan letih, lapar dan dahaga.

Adakah menonton wayang itu perkara yang membatalkan puasa? Tidak.
Sebagai contoh untuk menonton wayang ini, dia masuk ke dalam panggung wayang pada pukul 3.00 petang, relaks di dalam panggung wayang, pukul 7.00 petang dia keluar, pukul 7.15 petang berbuka puasa. Persoalannya, cerita apa yang kita tengok? Dengan siapa yang dia tonton? Apa yang dia buat ketika kita menonton? Adakah dia juga 'buat wayang' di dalam panggung wayang? Itu boleh merosakkan puasanya. Tetapi jika dia menonton cerita yang bagus, cerita yang tidak mendatangkan masaalah dari segi hukum, tengoklah. Tidak menjadi masalah, selagi tidak membatalkan pahala puasa dan tidak membatalkan puasa, maka menonton wayang tadi diharuskan.

Mengenai perkara yang mengkhayalkan, apakah perkara yang mengkhayalkan yang dimaksudkan? Adakah duduk termenung mengingati teman wanita atau sesuatu yang lain? Tengok SMS? Tengok Facebook? Atau tengok apa post-post terbaru di dalam blog? Kalau perkara itu tidak bermanfaat, tidak mendatangkan faedah kepada kita, elakkan.

Untuk orang yang ingin melakukan ketiga-tiga jenis perbuatan seperti inilah iaitu berdating, menonton wayang dan berkhayal, Rasulullah berkata, kalaulah kamu mahu melakukan perkara-perkara seperti ini, lebih baik tidur. Tidur pada masa itu ebih baik dari perkara ini. Maka pada masa itu, kita tidak mahu melakukan perbuatan tersebut, kalau benda ini boleh merosakkan kita, kita tidur sahajalah. Tidur tidak mengurangkan pahala puasa, kalau tujuan kita adalah mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang maksiat. Tetapi kalau tidur dari pagi sampai petang, itu boleh dijatuhkan hukum makruh pula. Tidur yang saya maksudkan di sini ialah tidur untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Tiga perkara yang kita bincangkan hari ini ialah tiga perkara yang sia-sia. Perbuatan ini boleh merosakkan puasa, boleh menghancurkan pahala puasa, jadi elakkan. InsyaAllah, kita akan mendapat puasa yang terbaik.

Dari: Ustaz Mohd Kazim Elias
Di dalam "1001 Persoalan Bersama Ustaz Kazim Elias" episod 14

Sedutan MP3 ini boleh didengar di bawah:
 


Anda mungkin juga berminat:
Maher Zain - Ramadan (Versi Malay) dengan Lirik 
Doa ketika menemui malam lailatul Qadar
Doa ketika berbuka puasa


Monday, 9 June 2014

Apakah hukum melakukan solat sunat dhuha betul-betul pada waktu syuruk?

Soalan:
Apakah hukum melakukan solat sunat dhuha betul-betul pada waktu syuruk?

Jawapan:
Syuruk sebenarnya bermaksud sudah keluar cahaya. Setelah lebih kurang 15 minit matahari keluar dari kaki langit (semasa matahari terbit), ia dipanggil waktu syuruk. Kemudian, setelah matahari naik lebih tinggi (biasanya dalam lebih kurang jam 8.30 pagi), iaitu lebih kurang 1 galah pendek jaraknya, bermulalah waktu duha.

Ada dua pendapat mengenai perkara ini.

Pendapat pertama mengatakan kedua-duanya adalah dua jenis solat sunat yang berlainan; solat sunat syuruk (solat sunat yang dilakukan pada waktu shuruk) dan juga solat sunat dhuha (solat sunat yang dilakukan pada waktu dhuha). Kedua-dua solat sunat ini adalah berbeza.

Pendapat kedua mengatakan bahawa tiada solat sunat syuruk, yang ada hanyalah solat sunat dhuha yang boleh dilakukan terus sebaik sahaja masuk waktu syuruk.

Kedua-dua pendapat ini ada sandaran masing-masing, maka kita bolehlah taklid kepada mana-mana satu daripada pendapat ini. Kedua-dua pandangan ini adalah pandangan ulamak yang mujtahid.

Dari Ustaz Azhar Idrus

Lihat video youtube Ustaz Azhar Idrus - solat dhuha pada waktu syuruk.mp4