Thursday, 6 November 2014

Adakah puasa saya masih sah sekiranya saya berdating, menonton wayang dan melakukan perkara-perkara mengkhayalkan untuk membuang masa supaya cepat berbuka puasa?

Soalan:
Adakah puasa saya masih sah sekiranya saya berdating, menonton wayang dan melakukan perkara-perkara mengkhayalkan untuk membuang masa supaya cepat berbuka puasa?


Jawapan:
Selagimana kita tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, puasa itu masih sah.

Adakah berdating itu perkara yang membatalkan puasa? Tidak.
Cuma, berdating itu bagaimana? Kalau dia berpuasa, adakah dia keluar dengan lelaki atau perempuan? Kalau sama-sama lelaki, tiada masalah (bukan merujuk kepada lelaki yang berdating dengan lelaki, tetapi kawan sahaja). Yang menjadi masalah ialah jika dia seorang lelaki keluar berdating dengan perempuan. Apa yang dia buat semasa dating itu? Adakah berpegangan tangan, berpeluk, walaupun dalam keadaan berpuasa? Memanglah tidak batal puasa, tetapi habislah pahala puasa. Puasanya tidak mendapat apa-apa melainkan letih, lapar dan dahaga.

Adakah menonton wayang itu perkara yang membatalkan puasa? Tidak.
Sebagai contoh untuk menonton wayang ini, dia masuk ke dalam panggung wayang pada pukul 3.00 petang, relaks di dalam panggung wayang, pukul 7.00 petang dia keluar, pukul 7.15 petang berbuka puasa. Persoalannya, cerita apa yang kita tengok? Dengan siapa yang dia tonton? Apa yang dia buat ketika kita menonton? Adakah dia juga 'buat wayang' di dalam panggung wayang? Itu boleh merosakkan puasanya. Tetapi jika dia menonton cerita yang bagus, cerita yang tidak mendatangkan masaalah dari segi hukum, tengoklah. Tidak menjadi masalah, selagi tidak membatalkan pahala puasa dan tidak membatalkan puasa, maka menonton wayang tadi diharuskan.

Mengenai perkara yang mengkhayalkan, apakah perkara yang mengkhayalkan yang dimaksudkan? Adakah duduk termenung mengingati teman wanita atau sesuatu yang lain? Tengok SMS? Tengok Facebook? Atau tengok apa post-post terbaru di dalam blog? Kalau perkara itu tidak bermanfaat, tidak mendatangkan faedah kepada kita, elakkan.

Untuk orang yang ingin melakukan ketiga-tiga jenis perbuatan seperti inilah iaitu berdating, menonton wayang dan berkhayal, Rasulullah berkata, kalaulah kamu mahu melakukan perkara-perkara seperti ini, lebih baik tidur. Tidur pada masa itu ebih baik dari perkara ini. Maka pada masa itu, kita tidak mahu melakukan perbuatan tersebut, kalau benda ini boleh merosakkan kita, kita tidur sahajalah. Tidur tidak mengurangkan pahala puasa, kalau tujuan kita adalah mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang maksiat. Tetapi kalau tidur dari pagi sampai petang, itu boleh dijatuhkan hukum makruh pula. Tidur yang saya maksudkan di sini ialah tidur untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Tiga perkara yang kita bincangkan hari ini ialah tiga perkara yang sia-sia. Perbuatan ini boleh merosakkan puasa, boleh menghancurkan pahala puasa, jadi elakkan. InsyaAllah, kita akan mendapat puasa yang terbaik.

Dari: Ustaz Mohd Kazim Elias
Di dalam "1001 Persoalan Bersama Ustaz Kazim Elias" episod 14

Sedutan MP3 ini boleh didengar di bawah:
 


Anda mungkin juga berminat:
Maher Zain - Ramadan (Versi Malay) dengan Lirik 
Doa ketika menemui malam lailatul Qadar
Doa ketika berbuka puasa


Monday, 9 June 2014

Apakah hukum melakukan solat sunat dhuha betul-betul pada waktu syuruk?

Soalan:
Apakah hukum melakukan solat sunat dhuha betul-betul pada waktu syuruk?

Jawapan:
Syuruk sebenarnya bermaksud sudah keluar cahaya. Setelah lebih kurang 15 minit matahari keluar dari kaki langit (semasa matahari terbit), ia dipanggil waktu syuruk. Kemudian, setelah matahari naik lebih tinggi (biasanya dalam lebih kurang jam 8.30 pagi), iaitu lebih kurang 1 galah pendek jaraknya, bermulalah waktu duha.

Ada dua pendapat mengenai perkara ini.

Pendapat pertama mengatakan kedua-duanya adalah dua jenis solat sunat yang berlainan; solat sunat syuruk (solat sunat yang dilakukan pada waktu shuruk) dan juga solat sunat dhuha (solat sunat yang dilakukan pada waktu dhuha). Kedua-dua solat sunat ini adalah berbeza.

Pendapat kedua mengatakan bahawa tiada solat sunat syuruk, yang ada hanyalah solat sunat dhuha yang boleh dilakukan terus sebaik sahaja masuk waktu syuruk.

Kedua-dua pendapat ini ada sandaran masing-masing, maka kita bolehlah taklid kepada mana-mana satu daripada pendapat ini. Kedua-dua pandangan ini adalah pandangan ulamak yang mujtahid.

Dari Ustaz Azhar Idrus

Lihat video youtube Ustaz Azhar Idrus - solat dhuha pada waktu syuruk.mp4